100 Sifat Manusia (Hubungan dan Tanggungjawab)
Anak ayam mendadak kurus,
Hendak dibela sukar ditambat;
Sudahlah kurang tidak terurus,
Sombong pula tidak bertempat.
Anak ayam di atas meja,
Dihalau si kecil terbang mendadak;
Orang kerja awak pun kerja,
Orang berhasil, awak tidak.
Anak ayam di dalam gubuk,
Matanya buta terhuyung-hayang;
Orang sibuk awak pun sibuk,
Orang berharta, awak berhutang.
Anak ayam bulunya nipis,
Digulai sambal si ikan mayung;
Sudah belajar sijil berlapis,
Semakin tebal, semakin bingung.
Anak ayam berlegar-legar,
Burung helang berputar-putar;
Cakap saja berdegar-degar,
Dicabar orang terketar-ketar.
Anak ayam ada di darat,
Berbaris-baris mematuk ketupat;
Sehari-hari duduk mesyuarat,
Teh habis keputusan tak dapat.
Anak ayam hendak disalai,
Bulunya gugur di atas bumbung;
Konon diri si bijak pandai,
Pantang ditegar dia melambung.
Anak ayam ibunya garang,
Anak angsa matanya bolong;
Jadi ketua bersikap curang,
Ikut rasa sering berbohong.
Anak ayam dijual di pasar,
Harganya kurang setin biskut;
Konon menjadi pemimpin besar,
Diserang orang tunduk melutut.
Anak ayam di hujung tanjung,
Memakan jerami berselang pisang;
Jadi pemimpin mohon disanjung,
Memasang kroni keliling pinggang.
100 Strategi Untuk Berjaya
Anak ayam memakan lada,
Sudah kututup dengan raga;
Carilah ilmu penuhkan dada,
Barulah hidup rasa berharga.
Anak ayam di hujung halaman,
Burung helang berlegar-legar;
Kalau tua dengan pengalaman,
Dihormati orang ilmunya tegar.
Anak ayam baru sebulan,
Beli sekawan ditimbang pukal;
kalau sesat di hujung jalan,
Jangan segan nak balik ke pangkal.
Anak ayam turun seribu,
Berkeliling tunggal satu persatu;
Jangan sombong berkepala batu,
Pemimpin unggul tidak begitu.
Anak ayam tambat di pangkal,
Terbang malam ke tepi telaga;
Kalau kail panjang sejengkal,
Lautan dalam jangan diduga.
Anak ayam di rumpun temu,
Hendak mematuk cacing pita;
Kalau diri kurang berilmu,
Jangan menunjuk mengada cerita.
Anak ayam bulu balik,
Asyik memagut anak taptibau;
Kalau asal benih yang baik,
Jatuh ke laut menjadi pulau.
Anak ayam dari seberang,
Tambat di palang takut terbang;
Jangan kerja menyalahkan orang,
Penat orang tidak ditimbang.
Anak ayam terbang ke hutan,
Lalu direjam si kulit lokan;
Jangan berlagak si ayam jantan,
Tajinya tajam tapi tak makan.
Anak ayam bermain di taman,
Dihalau orang ke tepian basuh;
Jangan hidup hilang pedoman,
Kawan keliling dianggap musuh.
Sumber : Dewan Bahasa, April 2009
Hasil Nukilan : Rogayah A. Hamid
P/S Sama2 kita renungkan kebenaran pantun di atas... Admin juga bukanlah cukup baik, tp sama2 la kita jadikan nasihat di atas sebagai teladan ya.. Selamat beramal ^__^
No comments:
Post a Comment